Theme: Blue and Green Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Font: IncreaseFont: NormalFont: Decrease
Background: 1 Background: 2 Background: 3 
 EN  | BM

Last Update: 17 Apr 2018
Version 8.0.4b
AirAsia terima penerbangan sulung antarabangsa ke Sarawak
Posted on : 28 Dec 2017  Source of News: Berita Harian
 

KUALA LUMPUR: AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia menerima penerbangan sulung antarabangsa ke Sarawak; dari Shenzhen ke Kuching dan Singapura ke Bintulu, hari ini.

Dua penerbangan terus antarabangsa itu sebahagian daripada pelan AirAsia untuk meningkatkan hubungan ke Malaysia Timur, selari dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk terus membangunkan sektor pelancongan dan rangkaian penerbangan ke negeri berkenaan.

Ketua Komersial AirAsia Bhd, Spencer Lee, berkata AirAsia sentiasa komited untuk memperluaskan pasaran di Sarawak dan dua penerbangan terus itu menjadi bukti komitmen AirAsia bagi meningkatkan hubungan antara Sarawak serta dua bandar itu.

"Kami berbesar hati dan merendah diri untuk menyambut dua penerbangan antarabangsa baharu ke Sarawak pada hari ini.

"Sehingga kini, kami telah menerbangkan seramai 4.8 juta tetamu dari dan ke Sarawak, iaitu 12.1 peratus lebih ramai dari 2016 dengan China dan Singapura berada dalam senarai lima negara teratas," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap pengenalan dua laluan baharu itu akan menambah jumlah pelawat ke Sarawak pada tahun depan, dan pihaknya percaya ia akan tercapai dengan sokongan berterusan yang diberi oleh Kerajaan Sarawak serta pihak berkuasa pelancongan.

"Kami juga berbangga kerana diiktiraf sebagai syarikat penerbangan terkemuka oleh Kerajaan Sarawak di Anugerah Sarawak Hornbill Tourism 2015/2016 pada tahun ini.

"Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak serta Lembaga Pelancongan Sarawak di atas sokongan mereka," katanya.

Lee berkata, AirAsia akan terus menyokong kerajaan negeri untuk meningkatkan hubungan bagi memacu sektor pelancongan di Sarawak.

"Kami berharap untuk menjadi syarikat penerbangan utama yang menghubungkan Bumi Kenyalang ke destinasi lebih jauh lagi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, Datuk Abdul Wahab Aziz, berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada AirAsia kerana sudah membuka laluan udara dari hab antarabangsa.

"Pengenalan kedua-dua laluan itu bertepatan untuk meneruskan pembangunan industri pelancongan di Sarawak serta ke persada antarabangsa, dan kami berharap lebih banyak hubungan antarabangsa yang akan diperkenalkan pada tahun akan datang," katanya.

Info:

Penerbangan untuk Kuching, Malaysia (KCH) - Shenzhen, China (SZX) setiap hari.

Penerbangan untuk Bintulu, Malaysia (BTU) - Singapura (SIN) pada Isnin,Rabu, Jumaat dan Ahad.

Sumber : Berita Harian